PENGHAPUS DOSA
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam juga dijadikan tempat menghapus segala dosa sebagaimana kepercayaan penganut agama Nasrani menjadikan ketua agama mereka sebagai tempat pengampunan dosa. Apakah perbuatan dan keyakinan seperti ini tidak boleh menyebabkan berlakunya kesyirikan? Fahamilah rangkap syair di bawah ini yang mengajar agar menjadikan Rasulullah tempat penghapus dosa bagi mereka yang telah melakukan maksiat:
السَّلاَمُ عَلَيْكَ * يَاذُخْرَ الْعُصَاةِ
“Salam atasmu wahai harapan (penghapus dosa) para pembuat maksiat”.[1]
Dalam akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, mereka berkeyakinan bahawa Rasulullah tidak dapat mengampunkan dosa sesiapa. Baginda hanya dapat (diberi keizinan) untuk memberi syafaat kepada sesiapa yang tidak melakukan kesyirikan, iaitu dengan izin Allah ‘Azza wa-Jalla sebagaimana firman Allah:
قُلْ للهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيْعًا
مَنْ ذَا الَّذِيْ يَشْفَعُ عِنْدَهُ اِلاَّ بِاِذْنِهِ.
“Tiada siapa yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya”
سَاَلَ اَبُوْ هُرَيْرَة رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ اَسْعَدَ النَّاس بِشَفَاعَتِكَ : قَالَ : مِنْ قَالَ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ خَالِصًا مِنْ قَلْبِهِ.
“Telah bertanya Abu Hurairah kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam: Siapakah yang paling berbahagia kerana mendapat syafaatmu? Baginda bersabda: Sesiapa yang mengucapkan: Tiada tuhan (yang berhak diibadahi) melainkan Allah dengan sepenuh keikhlasan di hatinya”.[3]
Para pencinta berzanji mungkin tidak menyedari bahawa apabila mereka mentaqdiskan (mensucikan/memuliakan) pembacaan berzanji, mereka telah menjadikan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagai tempat meminta perlindungan, keselamatan, keamanan dan kesejahteraan. Perbuatan ini amat bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Kenyataan ini terdapat pada syair-syair di dalam Kitab Berzanji:
يَا رَسُوْلَ اللهِ يَا خَيْرَ كُلِّ اْلاَنْبِيَاء *
نَجِّنَا مِنْ هَاوِيَةْ يَازَكِيَّ الْمَنْصِبِ
“Wahai Rasulullah! Wahai sebaik-baik Nabi! * Selamatkan kami dari segala kebinasaan (keruntuhan), wahai yang berkedudukan mulia”.[4]
Rangkap syair di atas amat bertentangan dengan beberapa ayat di dalam al-Quran. Firman Allah:
ثُمَّ نُنُجِّيْ رُسُلَنَا وَالَّذِيْنَ آمَنُوْا كَذَلِكَ حَقًّا عَلَيْنَا نُنْجِ الْمُؤْمِنِيْنَ.
“Kemudian Kami selamatkan rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman, demikianlah menjadi kewajipan atas Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman”.[5]
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ ، وَكَذَلِكَ نُنْجِيْ الْمُؤْمِنِيْنَ.
“Maka Kami telah memperkenankan doa dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.[6]
Ayat-ayat di atas ini menjelaskan bahawa hanya Allah Subhananhu wa-Ta’ala sahaja yang menyelamatkan para RasulNya, orang-orang yang beriman dan sekalian makhlukNya, bukannya nabi atau rasul. Pengamal, penggemar dan pencinta Berzanji terus-terusan mengharap limpahan kebaikan, keselamatan, perlindungan, pertolongan dan memohon agar dipenuhi segala keperluan yang penting dan dihajatkan oleh mereka. Ini dapat difahami dan dibuktikan dari bait-bait syair di dalam Berzanji sebagaimana di bawah ini:
اَنْتَ لِلرُّسُلِ خِتَامٌ * اَنْتَ لِلْمَوْلَى شَكُوْرُ
عَبْدُكَ الْمِسْكِيْنُ يَرْجُوْا * فَضْلَكَ الْجَمَّ الْغَفِيْرَ
فِيْكَ قَدْ اَحْسَنْتُ ظَنِّيْ * يَا بَشِيْرُ يَا نَذِيْرُ
فَاَغِثْنِيْ وَاَجِرْنِيْ * يَا مُجِيْرُ مِنَ السَّعِيْرِ
يَا غَيَاثِيْ يَا مَلاَذِيْ * فِى مُهَمَّاتِ الاُمُوْرِ
“Engkau penutup para rasul, engkau limpahan syukur bagi Tuhan, hambamu yang miskin mengharapkan kebaikanmu yang banyak dan berlimpah. Padamu aku berbaik sangka wahai penggembira dan pengingat! Maka tolong lindungilah aku, wahai pelindung dari api neraka! Wahai penolongku dan pelindungku dalam segala urusan yang penting”.[7]
Telah disepakati oleh para ulama akidah dari golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah, bahawa meminta perlindungan kepada makhluk dalam hal-hal ghaibiyah adalah haram dan membawa kepada kesyirikan. Para pengamal berzanji perlu tahu dan menyedari bahawa Rasulullah yang menjadi contoh dalam berakidah dan beribadah, baginda meminta pertolongan dan perlindungan hanya kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagaimana kenyataannya dalam doa baginda:
اَللَّهُمَّ يَا غِيَاثَ الْمُسْتَغِيْثِيْنَ * وَيَا مُجِيْبَ السَّائِلِيْنَ.
“Ya Allah! Wahai Penolong bagi setiap peminta pertolongan dan wahai Pengabul setiap permohonan (doa)!”.
Para pencinta dan pengamal Kitab Berzanji juga menggalakkan para pengamalnya meminta-minta ke kuburan Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam untuk memperolehi kesejahteraan, cita-cita, hajat dan segala yang diinginkan. Ajaran ini terkandung di dalam syair berikut:
هَذَا النَّبِيُّ الَّذِيْ مَنْ زَارَ حُجْرَتَهُ *
نَالَ الْهَنَا وَاْمُنَا وَالسُّؤْلَ وَالْوَطَرَ.
“Inilah nabi bagi sesiapa yang menziarahi makamnya memperolehi kesejahteraan, cita-cita, hajat dan keinginannya”.[8]
Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih yang mengharamkan orang-orang yang beriman dari menyeru kepada makhluk terutama roh orang yang telah mati dalam permohonan mereka, yang sewajarnya dipohonkan dan diseru hanya kepada Allah. Perbuatan menyeru dan memohon kepada orang mati ini telah diharamkan kerana ia menyebabkan berlakunya kesyirikan. Larangan ini terdapat dalam firman Allah:
قُلِ ادْعُوْا اللهَ اَوِادْعُوْا الرَّحْمَنَ اَيًّا مَا تَدْعُوْا فَلَهُ اْلاَسْمَآءُ الْحُسْنَى.
“Katakanlah! Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana sahaja kamu seru, Dia mempunyai al-Asmaaul Husna (nama-nama yang baik)”.[9]
وَلاَ تَدْعُوْا مَعَ اللهِ اِلَهًا آخَرَ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ
“Janganlah kamu seru (sembah) di samping (menyeru/menyembah) Allah, tuhan apapun selain Dia”.[10]
Ayat di atas ini mengharamkan setiap orang yang beriman dari menyeru selain Allah, tetapi dalam berzanji mengajar agar pengamalnya berzikir dengan menyeru dan menyebut-nyebut Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam di samping meminta petunjuk, pertolongan dan keselamatan dari baginda:
اَلاَ يَا نَبِيَّ الْهُدَى * اَغِثْ مَنْ بِذِكْرِكَ يَصِحْ
اَلاَ يَارَسُوْلَ الْكَرِيْمِ * عَلَيْكَ صَلاَةٌ تَصِحْ
“Wahai Nabi pemberi petunjuk! Tolonglah orang yang berdoa kepadamu. Wahai yang memberi petunjuk! Tolonglah orang-orang yang menyebut-nyebut namamu”.[11]
Menurut kesepakatan ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, setiap doa, permohonan, seruan dan istigasah hanya dipintakan, dipohon atau diperkenankan kepada Allah ‘Azza wa-Jalla semata sebagaimana firmanNya:
اِذْ تَسْتَغِيْثُوْنَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ اَنِّيْ مُمِدُّكُمْ بِاَلْفٍ مِنَ الْمَلاَئِكَةِ مُرْدِفِيْنَ.
“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan olehNya bagimu. Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”.[12]
-----------------------------------------------------------------------
[1] . مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجي Hlm. 5.
[2] . Az-Zumar, 39:44.
[3] . H/R Bukhari (97). Al-Ilm.
[4] . Lihat: مجموعة الموالد وادعية شرف الانام Hlm. 8.
[5] . Yunus, 10:103.
[6] . Al-Anbia, 21:88.
[7] . Lihat: مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجي Hlm. 38.
[8] . Lihat: مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجي Hlm. 59.
[9] . Al-Isra, 17:110.
[10] . Al-Qasas, 28:87.
[11] . Lihat: مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجي Hlm. 61.
[12] . Al-Anfal, 8:9.