Saturday, April 5, 2008

04 - Kewajipan Mencintai Rasulullah S.A.W

KEWAJIPAN MENCINTAI
RASULULLAH S.A.W





Mencintai Allah Subhanahu wa-Ta’ala dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan keluarganya (Ahli Bait) adalah wajib atas setiap mukmin. Rasulullah bersabda:



اَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ اَحَبَّ اِلَيْهِ مَمَّا سِوَاهُمَا.



“Hendaklah mencintai Allah dan RasulNya melebihi selain dari keduanya”.[1]




Oleh itu, setelah mencintai Allah dan RasulNya maka wajib pula bagi mereka memelihara agama yang disampaikan oleh baginda, kerana ia adalah agama yang sihat, kuat dan benar. Maka setelah kewafatan Nabi utusan ini, adalah wajib atas setiap mukmin membersihkan agama yang disampaikan oleh baginda serta sirah baginda dari dimasuki oleh unsur-unsur lemah, kisah-kisah khayalan (tahaiyulat), berita-berita bohong (khurafat) dan sejarah palsu, terutama yang berkaitan dengan diri baginda yang tidak berdalilkan dalil yang sahih supaya tidak dipertikaikan setiap apa sahaja yang telah disampaikan kepada ummahnya.




Untuk membuktikan kerasulan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan membuktikan kecintaan seseorang itu kepadanya, tidak perlulah membuktikannya dengan kisah-kisah dan cerita-cerita khurafat, khayalan (tahaiyul), gambaran yang aneh, pelik dan ajaib yang dibuat-buat sebelum dan sesudah kelahiran baginda. Haram hukumnya jika terlalu berlebih-lebihan (ghalu) dalam memperkatakan persoalan kenabian sebagaimana yang terdapat keterlaluan yang keji ini di dalam kitab berzanji.



-------------------------------------------------------------------------




[1] . H/R Bukhari (15) al-Iman. Muslim (60) al-Iman.
Turmizi (3548) al-Iman dan Nasaii (490). Al-Iman.