Saturday, April 5, 2008

05 - Antara Kebatilan Dalam Berzanji

ANTARA KEBATILAN
DALAM BERZANJI



Antara cerita yang berlebih-lebihan yang membawa kepada ghalu (melampaui batas) dan kesyirikan di dalam berzanji ialah:



اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَ * يَا مَاحَيَ الذُنُوْبِ



Salam atasmu wahai penghapus dosa![1]
Ungkapan dalam syair di atas ini jika diyakini benar maka ia boleh membawa kepada berlakunya syirik tasybih (menjadi syirik kerana menyerupakan Allah dengan makhlukNya). Ini bermakna samalah seperti menyamakan (mensetarakan) dan memberikan sifat Allah Subhanahu wa-Ta’ala kepada makhlukNya iaitu Nabi Muhammad sallalahu ‘alahi wa-sallam. Perbuatan atau amalan seperti ini sangat bertentangan dengan nas-nas hadis yang sahih dan ayat al-Quran. Seterusnya terdapat banyak lagi kenyataan dalam Berzanji yang bertentangan dengan akidah yang sahih sebagaimana syair di bawah ini:




غَافِرِ الذَنْبِ وَقَابِلِ التَّوْبِ شَدِيْدِ الْعِقَابِ ذِى الطَّوْلِ لآاِلَهَ اِلاَّ هُوَ اِلَيْهِ الْمَصِيْرِ



(Hanya Dialah) Yang Mengampuni dosa dan Menerima taubat lagi keras hukumanNya. Yang mempunyai kurnia. Tiada Tuhan (yang berhak diibadahi) selain Dia. Hanya kepadaNyalah kami kembali (semua makhluk).[2]



Meminta pengampunan segala dosa dan bertaubat hanya kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Allah berfirman:




فَاعْلَمْ اَنَّهُ لآاِلَهَ اِلاَّ اللهُ ، وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ.



“Maka ketahuilah! (Ya Muhammad) Bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Hak) melainkan Allah dan mohonlah (kepada Allah) ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin lelaki dan perempuan”.[3]



Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam diutus untuk menjadi contoh kepada setiap muslim, baginda mengajarkan setiap orang-orang yang beriman agar meminta keampunan segala dosa mereka hanya kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala, bukan meminta kepada baginda kerana baginda sendiri sentiasa meminta keampunan hanya kepada Allah:



وَاَبُوْءُ بِذَنْبِيْ ، فَاغْفِرْلِيْ ، فَاِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذَُنُوْبَ اِلاَّ اَنْتَ.


“Dan aku merasa berdosa, maka ampunilah dosaku wahai Tuhanku! Sesungguhnya tidak ada yang boleh mengampunkan segala dosaku kecuali Engkau”.[4]



Contoh yang paling kuat dan jelas ialah baginda Rasulullah disetiap hari meminta pengampunan (istighfar) yang lebih dari tujuh puluh kali hanya kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala:



وَاللهِ اِنِّيْ لاَسْتَغْفِرُ اللهَ وَاَتُوْبُ اِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ اَكْثَرُ مِنْ سَبْعِيْنَ مَرَّةً.


“Demi Allah! Sesungguhnya aku memohon keampunan Allah dan bertaubat kepadaNya dalam sehari semalam lebih dari tujuh puluh kali”.[5]
Terdapat ajaran yang boleh membawa kepada pemesongan akidah atau kesyirikan di dalam berzanji, iaitu seruan yang berbunyi:



اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَ * يَاكَهْفًا وَمَقْصَدْ


“Salam atasmu wahai tempat bernaung dan meminta!”.[6]



Yang jelas di dalam al-Quran diserukan agar orang-orang beriman meminta dan memohon hanya kepada Allah ‘Azza wa-Jalla sebagaimana firmanNya:



قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ . اَللهُ الصَّمِدُ.


“Katakanlah! Bahawa Allah Maha Tunggal, Allah tempat meminta”.[7]



اِيَّاكَ نَعْبُدُ وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُ.


“Hanya kepada Engkaulah sahaja kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan”.[8]



قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَاسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ.


“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Apabila kamu mengharapkan pertolongan maka mintalah kepada Allah”.



Di dalam Kitab Berzanji dengan jelas terdapat banyak keyakinan (kepercayaan) yang bertentangan dengan akidah tauhid yang murni, seperti memberikan sifat Allah ‘Azza wa-Jalla kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Ini dapat difahami dari syair di bawah ini:



اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَ * يَاجَالِيَ الْكُرُوْبِ


“Salam atasmu, wahai penghapus bencana! (penghapus segala penderitaan /kesusahan )”.[9]



Syair di atas amat bertentangan dengan beberapa potong ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Dan ia dengan jelas amat bertentangan dengan firman Allah ‘Azza wa-Jalla sebagaimana di bawah ini:



وَنُوْحًا اِذْ نَادَى مِنْ قَبْلُ فَاسْتَجَبْنَالَهُ فَنَجَّيْنَاهُ وَاَهْلَهُ مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيْمِ.



“Dan (ingatlah kisah) Nuh, sebelum itu ketika dia berdoa, dan Kami memperkenankan doanya, lalu Kami selamatkan dia berserta pengikutnya dari bencana yang besar”.[10]



Nabi Nuh ‘alaihis salam apabila memohon doa baginda terus menghadapkan dirinya kepada Allah, bukan kepada makhluk atau melalui tawassul kepada makhluk-makhluk tertentu. Allah berfirman:



قُلِ اللهُ يُنَجِّيْكُمْ مِنْهَا وَمِنْ كُلِّ كَرْبٍ ثُمَّ اَنْتُمْ تُشْرِكُوْنَ.


“Katakanlah! Allahlah yang menyelamatkan kamu daripada bencana itu dan dari segala kesusahan kemudian kamu kembali mempersekutukanNya”.[11]



Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah sahaja yang menyelamatkan makhluknya dan melepaskan dari bencana serta kesusahan, oleh itu segala doa dan permohonan wajib dipinta dan dipohon hanya kepadaNya sebagaimana yang dilakukan oleh para rasul, para nabi dan solehin. Keterangan ini dikuatkan oleh ayat berikut:



وَنَجَّيْنَاهُ وَاَهْلَهُ مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيْمِ.


“Dan Kami telah menyelamatkan (Nuh) dan pengikutnya dari bencana yang besar”.[12]



Kitab Berzanji tersemat ajaran bahawa Nabi Muhammad adalah tempat meminta segala permohonan untuk diperkenankan apa sahaja yang dihajatkan:



اَلسَّلاَمُ عَلَيْكَ * يَاكُلَّ الْمَرَامِ


“Salam atasmu wahai tempat memohon segala hajat!”.[13]



Al-Maram seerti (semaksud) dengan al-Matlab atau al-Maksad “Tempat meminta permohonan atau hajat”. Menjadikan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagai tempat meminta pertolongan atau hajat amat bertentangan dengan syara, perbuatan seperti ini boleh membawa kepada kesyirikan sebagaimana firman Allah:



قُلْ اِنَّ صَلاَتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ للهِ رَبِّ الْعَالِمِيْنَ . لاَشَرِيْكَ لَهُ وَبِذَلِكَ اُمِرْتُ وَاَنَا اَوَّلُ الْمُسْلِمِيْنَ.




“Katakanlah! Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta Allam. Tiada sekutu bagiNya, dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang petama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”.[14]





-----------------------------------------------------------------------




[1] . Lihat: مجموعة الموالد شرف الانام برزنجي نثر وبرزنجي نظم hlm 3.
Percetakan al-Ma’arif Sdn. Bhd.
[2] . Surah al-Mukmin, 40:3.
[3] . Muhammad, 47:19.
[4] . Lihat: الاذكار hlm 177. Cetakan Pertama. An-Nawawi.
[5] . H/R Bukhari.
[6] . Lihat: مجموعة الموالد شرف الانام برزنجي Hlm 3.
[7] . Al-Ikhlas, 112:1-2.
[8] . Al-Fatihah, 1:5.
[9] . Lihat: مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجي Hlm. 4.
[10] . Al-Anbia, 21:76.
[11] . Al-An’am, 6:64.
[12] . As-Safat, 37:76.
[13] . Lihat: مجموعة الموالد وادعية شرف الانام برزنجي Hlm. 4.
[14] . Al-An’am, 6:162.