Saturday, April 5, 2008

02 - Tarikh Lahir Nabi Muhammad

TARIKH LAHIR NABI MUHAMMAD



Menurut Abdul Reheem dalam bukunya “Muhammad The Prophet”. Tidak siapa tahu bilakah tarikh sebenarnya Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dilahirkan. Ada riwayat yang menyatakan pada 1, 8, 10 dan 12 haribulan Rabiul Awal tetapi semuanya bersetuju bahawa Baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam lahir pada hari Isnin pada bulan itu. Yang paling sahih ialah Baginda lahir pada 9hb Rabiul Awal tahun Gajah.
[1]



Perayaan maulid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam berkekalan kerana berdasarkan pengaruh empat buah kitab di atas yang tersebar luas di segenap pelosok, kota-kota dan di desa-desa di Nusantara. Sangat mengecewakan, antara isi kandungan kitab-kitab tersebut bertentangan dengan akal yang rasional dan boleh menjejaskan (akidah) yang mengarah kepada kemusyrikan
[2] (menyekutukan Allah).



Mula-pertama adanya peringatan dan perayaan Maulid Nabi (yang berindukkan Kitab-kitab Berzanji) ialah dimasa kerajaan Fatimiyah dalam abad keempat hijrah.
[3] Mereka mengadakan enam maulid, iaitu maulid Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, maulid Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib, maulid syaidatina Fatimah az-Zahra, maulid Hasan, maulid Husin dan maulid Khalifah yang memerintah.[4] Kemudian setelah ditentang oleh golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang menyedari kebatilan dan kemungkaran amalan maulid dan berzanji ini, akhirnya ia ditinggalkan oleh umat Islam. Namun ia dihidupkan semula pada pemerintahan al-Hakim Biamrillah pada tahun 524H dan orang pertama yang memulakannya semula ialah al-Malik al-Mudzafar Abu Sa’ied dalam kurun ketujuh di kota Irbil di Iraq. Ia berterusan hingga kemasa kita sekarang dan diluaskan oleh manusia, dilakukan (dalam perayaan maulid ini) berbagai-bagai bid’ah mengikut hawa nafsu masing-masing yang dihiasi untuk mereka oleh syaitan.[5] Ia diimarahkan lagi oleh penggemar bid’ah dan aktivisnya terutama mereka yang tenggelam dalam tarikat kesufian.



Menurut ahli sejarah as-Sunni, majlis maulid yang pertama sekali telah di adakan oleh Muzaffar ad-Din Kokburu, abang ipar kepada Sultan Salahuddin Ayyobi di Arbela selatan Kota Mosul, Baghdad pada tahun 1207M (604H.) Pada perayaan ini terdapat pengaruh Sufi, Keristian dan Syiah.
[6]



Menurut satu kitab kecil dikeluarkan oleh Majlisul Ulama Afrika Selatan: “Amalan perayaan “Maulood” bersumber dari orang-orang yang fasik. Menurut Hajar Asqalani bahawa Molvi Amr bin Dahya adalah bertanggungjawab untuk mengadakan adat “Maulood”, beliau adalah orang yang mencaci ulama-ulama fiqah Islam. Lidahnya jahat. Beliau adalah orang jahil, takabbur dan tidak mempunyai ilmu yang mendalam berkaitan dengan agama”.
[7]

Adapun golongan (kumpulan) pertama yang mengadakannya (maulid dan diiringinya dengan membaca zikir dan berzanji beramai-ramai) adalah para masyeikh (syeikh-syeikh) pemimpin sufi
[8] terutama mereka yang berpegang dengan kepercayaan tarikat Nur Muhammad.




-----------------------------------------------------------------


[1] . Sejarah Pemikiran 2. Sulaiman Noordin. Hlm. 281.
[2] . Ibid.
[3] . Ibid.
[4] . Lihat: احسن الكلام فيما يتعلق بالسنة والبدعة من الاحكام hlm.
44-45.
[5] . Lihat: القول الفصل فى حكم الاحتفال بمولد خير الرسل hlm. 70.
Ismail bin Muhammad al-Ansari.
[6] . Lihat: Sejarah Pemikiran 2. Hlm. 282. Sulaiman Noordin. Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi. 1999.
[7] . Ibid. Hlm. 282.
[8] . Lihat: القول الفصل فى حكم الاحتفال بمولد خير الرسل hlm 70.