Monday, March 31, 2008

01 - BERZANJI

BERZANJI

Pada hakikatnya, kandungan Kitab Berzanji yang dianggap sebagai amalan suci apabila dibaca oleh sebahagian besar masyarakat Islam, ternyata kitab ini dipenuhi oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah Islamiyah yang murni. Berzanji ditulis dalam bentuk syair, gaya bahasa dan pemilihan kata-katanya benar-benar sangat menggugah sekaligus begitu sukar untuk difahami, tetapi sangat sedap diucapkan dan merdu pula dilagukan.
[1] Kerana dengan lagu yang mirip atau sama dengan membaca al-Quran, kesemuanya itu sebagai usaha untuk lebih mengesankan dan menarik para pendengarnya.[2]

Demikian pula penghormatan orang awam kepada kitab-kitab maulid (berzanji) itu, hampir-hampir menyerupai penghormatan kepada al-Quran.
[3] Oleh itu, berzanji dijadikan kitab untuk berwirid, berzikir, dibaca pada malam-malam tertentu seperti malam Jumaat, menyambut maulid Nabi, ketika ingin berpergian (musafir) atau pulang dari perjalanan (pelayaran) jauh, di hari perkahwinan, di majlis kesyukuran, sebelum berkhatan, kenduri mencukur jambul bayi yang baru lahir dan lain-lainnya.

Dari rangkaian kata-kata dan kejadian ini, jika terus dikaji dan diselidiki, maka akan kita dapati dan boleh dibuktikan malah akan difahami bahawa penggemar, pencinta atau pemuja Berzanji, antara penyebab mereka membacanya bukan melihat pada nilai di segi hukum syaranya. .Sama ada isi kandungan Berzanji yang dibaca dan dilagukan itu bertentangan dengan syara atau tidak, yang penting pada mereka ialah sedap, seronok dan merdunya melagukan Berzanji.

Berzanji dan kitab seumpamanya seperti Syaraful Anam, al-A’Zab dan ad-Daiba’i yang terkenal dengan ad-Deybaii adalah pencetus dan pengekal amalan pencinta maulid Nabi Muhammad sallallahu ‘alihi wa-sallam.

----------------------------------------------------------------------------------------

[1] . Lihat: Terjemahan Berzanji Lengkap. Hlm. Vii , Cetakan Pertama 1999. Pustaka Ilmi, Selangor. Mohd Sofwan Amrullah.
[2] . Lihat: Sorotan terhadap Kisah Maulid Nabi Besar
Muhammad s.a.w. Hlm. 12. H.S.A. Al-Hamdany
Pekalongan. Indonesia.
[3] . Ibid.